Isnin, 23hb Ramadhan 1435 Hijrah
21hb Julai 2014 Masehi
Wisma Perwira, Jalan Tekpi, Kuala Lumpur.
Saya belum pernah lagi pergi berbuka puasa @ iftar di luar sejak bermulanya Ramadhan nan mulia tahun ini atau berbuka tanpa isteri tersayang di depan mata.
Namun dek kerana memenuhi jemputan Tuan Haji Naser, Ketua Pasukan Media Tabung Haji yang menjadi juragan kami semasa Musim Haji 1432 Hijrah merangkap pembimbing saya selama berpeluang menunaikan fardhu Haji pada tahun 2011 nan lalu, saya menggagahkan diri juga menunaikan hasrat sahabat saya tersebut.
Tuan Haji Naser (berbaju putih sebelah saya) turut menjemput orang rumah saya tetapi buah hati saya berkata 'Abang pergi lah seorang sebab itu alumni Haji Abang!' dan memilih untuk berbuka di rumah.
Maka dengan berat hati nya saya memandu lah ke tempat di tuju. Saya sudah biasa dengan kawasan di sekitar Kementerian Pertahanan tetapi belum pernah menginjakkan kaki ke Dewan Perkasa, Wisma Perwira tersebut.
Maka setelah sampai di kawasan Jalan Semarak, saya memasang applikasi panduan perjalanan Waze dan berjaya sampai ke destinasi. Menghentikan kenderaan sebaik sampai ke pos kawalan keselamatan dan memperkenalkan diri sebagai jemputan ke Majlis Iftar Tabung Haji, saya di tunjukkan arah di mana terletak nya bangunan Dewan Perkasa di Wisma Perwira berkenaan.
Jam sudah menunjukkan 7:29 malam. Tinggal 2 minit sahaja sebelum Azan Maghrib kan berkumandang menandakan waktu berbuka puasa bagi hari semalam. Mujur ada lagi ruang letak kereta di kawasan berhampiran. Saya pun segera memandu masuk dan meletakkan kereta dengan selamat dan selepas menguncikan kenderaan bergegas menuju ke majlis iftar.
Sungguh indah dan mewah ruang dalam Wisma Perwira tersebut. Bak lobi hotel bertaraf 6 bintang, berkilau dan bergemerlapan lantai foyer tersebut. Tak ada sesiapa pun di kawasan itu tetapi saya terus berjalan dengan laju menuju ruang dalam.
Alhamdulillah, akhirnya saya tiba di kawasan di mana ada sebuah meja yang merupakan tempat pendaftaran tetamu dan setelah memperkenalkan diri sebagai jemputan Tabung Haji saya di persilakan masuk dan di maklumkan akan kedudukan meja2 Tabung Haji!
Rupanya Majlis Iftar itu bukan khusus untuk Tabung Haji sahaja. Pelbagai agensi dan jabatan kerajaan lain turut sama mengadakan majlis iftar mereka di satu lokasi dan di sajikan hidangan ala bufet. Macam macam ada....
Sebaik sahaja masuk waktu, kami membaca doa ketika berbuka puasa dan saya memakan kurma yang saya bawa dari rumah serta meminum air kosong yang tersedia. Kemudian pergi mengambil makanan dan minuman lain yang ada. Rasa lain le bila berbuka tanpa isteri tersayang didepan mata. Namun saya menabahkan diri dan menikmati juadah yang ada.
Kami menunaikan fardhu Maghrib di surau yang disediakan secara berjamaah dan kemudian menyambung sesi bersembang bertukar tukar cerita dan berita tentang perkembangan hidup masing masing setelah lama tidak berjumpa. Ada alumni Musim Haji 2011 seperti saya dan beberapa orang lagi. Ada yang alumni tahun 2012 dan ada yang dari musim Haji 2013.
Semua dok asyik bertanya bila Tuan Haji Mohd Faisal Rohban nak sampai? Haji Faisal se alumni dengan saya. Kami adalah di antara petugas media dari kalangan blogger pertama di jemput menyertai Pasukan Media TH pada tahun 2011. Sampai mati tak boleh lupa segal pengalaman yang kami lalui pada kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Saya perlu berhenti sekejap di sini. Nanti saya akan berkongsi dengan anda gambar2 kenangan semasa saya menyempurnakan Fardhu Haji saya tahun 2011 dulu.
Mohon diri dulu.