Quantcast
Channel: MAHAGURU58
Viewing all articles
Browse latest Browse all 505

Calon Ketua Pemuda UMNO ~ Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi bertanding melawan Khairy Jamaludin, Menteri Belia & Sukan

$
0
0
Akhirnya secara rasmi, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi telah mengisytiharkan diri nya bertanding melawan YB Khairy Jamaludin bagi jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO didalam Persidangan Agung UMNO di hujung tahun ini. 

Akhramsyah adalah anak kepada mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid (1996-1999) dan beliau sering menyuarakan pendapat dan pandangan beliau melalui laman blog nya sendiri iaitu Thoughts in Tangent  : Restless Musings of a Malay Mind.
Tan Sri Sanusi Junid
Secara peribadi, saya mengenali Akhramsyah buat pertama kali bilamana hanya beliau seorang sahaja Blogger (Pro-Kerajaan) dan juga ahliMuslim Bloggers Allianceyang berani mengikuti saya hadir ke rumah Dato Dr Hassan Ali (sekarang bekas) Pesuruhjaya PAS Selangor semasa di jemput menghadiri majlis dailog anjuran Dato Dr Hassan Ali bersama bloggers dimana pendedahan mengenai Bai'ah Talak Tiga PAS telah dilakukan oleh tuanrumah!


Akhramsyah (#2 dari kanan bersebelahan saya dan Ustaz Nasha / Tuanrumah Dato Hassan Ali #4 dari kiri)


Akhramsyah berbual mesra dengan Ustaz Nasharudin Mat Isa (Mantan Timbalan Presiden PAS) selepas majlis dailog Dato Dr Hassan Ali tersebut
Berikut adalah teks ucapan rasmi Akhramsyah semasa Sidang Akhbar beliau pagi tadi (10pagi 20/9/2013)
________________________________________________________________

Assalamualaikum Warahmatullah i Wabarakatuh,

Salam Sejahtera, Salam Satu Malaysia,

Terima Kasih atas kehadiran semua di sini pada hari ini, baik dari kalangan wakil media dan terutama sekali kawan-kawan yang sudi melepaskan diri dari tugas harian untuk bersama-sama.

Nama saya Akhramsyah Muammar Ubaidah bin Sanusi, lazimnya dikenali sebagai Akhram sahaja. Sebagai pengenalan, saya seorang anak kelahiran DEB (Dasar Ekonomi Baru). 

Pendidikan awal saya di Maktab Rendah Sains MARA Balik Pulau, Pulau Pinang sehinggalah berjayanya saya menggenggam segulung ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia dari Imperial College, London semua hasil dasar kerajaan pimpinan UMNO yang berlandaskan Dasar Ekonomi Baru.

Dengan bermodalkan ilmu tersebutlah, saya berjaya menarik perhatian sebuah syarikat minyak antarabangsa yang terkemuka mengambil saya sebagai seorang profesional. 

Selama 16 tahun saya bertugas sebagai seorang jurutera, konsultan sehingga kini mencapai peringkat pengurusan syarikat tersebut. Dalam masa itu, saya berpeluang bekerja di luar negara, menimba ilmu serta pengalaman teknikal mahupun organisasi, untuk kemudian di bawa pulang demi memajukan negara bangsa. 

Segala peluang serta kejayaan ini bertitik-tolak dari perjuangan UMNO, dan saya bersyukur atas pengorbanan pemimpin-pemimpin Melayu yang berjasa terhadap kami generasi muda.

Namun, sejak kebelakangan ini, telah tertimbul rintihan pada peringkat akar-umbi parti, terutama sekali pada golongan muda, yang UMNO terlihat seperti tidak dapat lagi menjaga kebajikan mereka. 

Segala usaha serta dasar kerajaan yang baik dilancarkan, tetapi kurang mengena sasaran, dan ini menimbulkan kerunsingan. Rintihan akar umbi Pemuda juga timbul tentang sentuhan kepimpinan yang dikatakan tak cukup kerap sampai ke bawah. 

Dan lebih parah lagi, ada orang muda yang kini menuduh Pemuda sebagai tidak lagi mendesak, tidak lagi menjulang obor perjuangan Agenda Melayu.

Oleh itu, memandangkan rintihan kawan-kawan, jiran-jiran serta penyokong tentang perlunya perubahan kepimpinan Pemuda, saya dan keluarga saya telah mengambil keputusan mengorbankan kerjaya saya untuk menawarkan diri, dengan rendah diri, sebagai calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. 

Agenda yang akan saya bawa insya Allah sekiranya terpilih sebagai Ketua Pemuda yang baru adalah menghidupkan kembali agenda perjuangan Melayu yang seharusnya menjadi tanggungjawab Pemuda UMNO. Oleh itulah, laungan Pemuda haruslah tidak lain dari HIDUP MELAYU!

Terima Kasih. Saya membuka majlis kepada soalan...

Ikhlas dari Calon Anda, Akhramsyah Sanusi

_________________________________________________________________

Sedutan rakaman video Astro Awani semasa sidang media Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi pagi tadi:

____________________________________________________________________________


Akhramsyah Sanusi boleh di ibaratkan seperti 'political underdog' atau berkedudukan sebagai 'David versus Goliath' bilamana beliau berkeputusan untuk bertanding melawan Menteri Belia dan Sukan Malaysia (sekarang) YB Khairy Jamaludin yang sangat berpengaruh di arena politik UMNO dan juga mempunyai sokongan kuat dari Tun Abdullah Badawi, mantan Perdana Menteri ke 5 Malaysia yang merupakan ayah mertuanya!



Walaupun Pak Lah dikatakan sebagai PM yang paling lemah sepanjang sejarah BN memerintah negara kita melalui Kerajaan Persekutuan Malaysia dan yang menyebabkan BN kehilangan 5 negeri di Semenanjung Tanah Melayu didalam PRU ke 12 (2008) namun pengaruhnya tetap ada sebagai seorang mantan Perdana Menteri. 


Nori Abdullah bersama anak dan suaminya KJ
Sudah tentu Tun Abdullah Badawi akan menyokong Khairy Jamaludin, menantunya untuk terus berkedudukan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sekaligus berusaha meneruskan kempen KJ untuk kekal didalam Majlis Tertinggi UMNO Malaysia.

Bukan mudah bagi Akhramsyah Sanusi untuk membuat kejutan didalam Perhimpunan Agung UMNO 2013 ini dan merubah kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang seolah kehilangan suara sejak diterajui Hishamuddin Hussein Onn sebelum ini dan di ambil alih oleh Khairy Jamaludin didalam pemilihan yang dikatakan terdapat unsur unsur politik wang?

Bilamana soal Khairy Jamaludin diperbincangkan orang didalam forum forum siasah negara, tak dapat tidak akan pemantau politik tanahair merujuk kepada sesi di bawah ini:

Pergerakan Pemuda UMNO dulu dulu cukup gah di persada politik tanahair. Tidak ada sesiapa yang berani memperkotak-katikkan soal Agama Islam, Hak hak Melayu Bumiputera dan Raja Raja Melayu!

Sejak kepimpinan PEMUDA UMNO diterajui Hishamuddin Tun Hussein Onn dan sekarang ini di bawah Khairy Jamaludin yang kelihatan senantiasa 'playsafe', maka puak puak yang anti Alif, Ba dan Ta naik tocang dan mulai mendesak begitu begini sehingga kebanyakan Melayu sudah resah dan gelisah takut mengalami nasib serupa dengan kaum Rohingya di Myanmar serta Arab Palestin yang dihalau dari tanah tumpah darah mereka sendiri!

Akhramsyah Sanusi ternyata berani mahu mengembalikan maruah orang orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu ke tempat sepatutnya!

Jika kita lihat Melayu sekarang, sudah ramai yang malu mahu mengaku diri sebagai Melayu kerana kepimpinan Pemuda UMNO tidak segah zaman kegemilangan mereka dahulu!

Apakah Perhimpunan Agung UMNO 2013 ini akan menyaksikan sebarang perubahan di pucuk pimpinan Pergerakan Pemuda nya?

Agak sukar membayangkan kemungkinan itu sebab terlalu singkat waktu dan ruang masa untuk sebarang usaha melakukan transformasi fikrah dan perjuangan para perwakilan untuk memantapkan kembali kedudukan para pemuda UMNO dengan barisan kepimpinan baharu untuk menebus maruah bangsa yang sudah dua musim tercalar dengan keengganan pemimpin2 mereka untuk bangun membela dan mempertahankan kedudukan Melayu yang kini bagaikan telor dihujung tanduk politik semasa!

Urat kacang bertali tali,
       Belum diraba belum kan layu;
Kuat orang jangan peduli,
       Belum dicuba belum kan tahu!

Akhramsyah Sanusi berhadapan dengan cabaran yang cukup hebat dengan memilih untuk bertanding melawan Khairy Jamaludin. Didalam persada politik tanahair terutamanya di medan politik UMNO, sudah lama kita tidak menyaksikan pertandingan bebas menentukan peralihan kuasa secara benar benar bebas dan demokratik sebab wujud sentimen tidak melawan ketua!

Perkara ini ternyata benar sebab kedudukan Presiden dan Timbalan UMNO itu sendiri tidak dipertandingkan dengan alasan mahu mengekalkan momentum kepimpinan parti yang sedia ada.

Ini tidak sihat bagi sebuah parti politik yang menerajui negara. Dengan tidak ada atau tidak di benarkan bertanding secara sihat dan budiman, maka pemegang jawatan akan berasa diri itu terlalu agung dan tidak ada cacat celanya.

Keadaan ini akan melahirkan bibit bibit ujub dan riak kepada diri sendiri. Sifat sebegitu amat membahayakan kemantapan sesebuah parti politik yang menjadi asas kekuatan gabungan parti pemerintah seperti Barisan Nasional.

Demi mahu menjaga periok nasi masing masing dan takut kehilangan kedudukan masing masing, maka barisan kepimpinan parti tersebut akan mengiyakan sahaja sebarang keputusan pemimpin tertinggi parti dan membuka ruang dan peluang untuk rasuah dan salah guna kuasa berlaku!

Suasana sebegitu lah yang heboh diperkatakan orang semasa pilihan parti berlangsung dipenggal yang lalu. 

Politik wang adalah satu pengkhianatan terhadap kehendak dan aspirasi ahli ahli pergerakan di peringkat akar umbi yang mendambakan perubahan kepimpinan yang baru, jujur, bebas dari rasuah, beramanah dan bersemangat berani membela nasib bangsa dan pewaris pejuang pejuang Melayu!

Sifat kayu kecil dan besar,
       Ada yang lurus ada yang tidak;
Adat Melayu adil dan benar,
       Bila diputus pada yang berhak!


Selamat berjuang Akhramsyah Sanusi! Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bendang Baru, Langkawi, Kedah.

Calon yang mendapat restu dari Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 505